Saturday, October 15, 2011

Luruskan Niatmu!

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : (إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ).

Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya: " Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : - "Hanyasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya."

 Ya Allah! Bila terbaca hadith ini, macam-macam perasaan timbul. Timbul juga persoalan dalam diri ini, "Adakah saya sudah berniat dengan betul setiap kali berbuat sesuatu?". Ruginya kalau apa yang saya buat selama ini terlupa untuk niat kerana Allah. Mungkin kerana pergi kerja itu sudah menjadi rutin harian, boleh jadi juga kerana meyidai kain itu sudah menjadi kemestian bila baju sudah dibasuh, boleh jadi juga setiap kali mengukirkan senyuman kepada kawan yang terserempak dalam perjalanan ke surau dan bilik meeting sudah menjadi adat dan budaya masyarakat melayu yang sopan. Ruginya kalau perbuatan-perbuatan kita ini tidak kita sertai dengan niat kerana Allah. 

Pada  masa yang sama, mudah sungguh mengutip pahala. Pergi kerja dapat pahala, sidai baju dapat pahala, senyum yang tidak memerlukan modal itupun mendapat pahala jika semua itu kita niatkan kerana Allah. Apatah lagi jika senyuman manis itu diberikan pada sang suami. Banyak betul passive income kita kalau hidup berlandaskan niat yang betul. Semoga sentiasa ingat untuk niat selepas ini.. mmmm.

Sebenarnya post ini adalah sambungan post yang sebelum ini. Di mana saya harus memastikan niat saya untuk menunaikan haji dimulai dengan niat yang betul,  niat yang lurus supaya input yang baik akan melahirkan output yang baik juga. Or else, garbage in, garbage out!

Mmm entah mengapa saya rasa motivated untuk menulis kembali setelah setahun post yang terdahulu dalam draft mode. Mungkin kerana musim haji tiba lagi. Mungkin kerana niat asal blog ini untuk berkongsi perjalanan haji saya dan suami setahun yang lalu... ya mungkin kerana niat itulah yang memanggil saya untuk menyambung penulisan ini. Ya, mungkin kerana niat itu...

Terima kasih Allah!



  

December 2002..

"Wah, bestnye tengok gambar abang dengan brothers bercamping.. Nur tak berkesempatan pun nak explore Australia macam ni.." kata saya teruja melihat gambar suami berkelana di bumi Kangaroo sekitar 15 tahun dahulu (15 tahun dah??). Mungkin lebih banyak cemburu daripada teruja sebenarnya.

"Itulah, sisters ni tak adventurous. Bukan senang nak dapat peluang tengok tempat orang.." sambung suami saya.

"Eh siapa kata tak adventurous, kami adventurous apa. Cuma tak de peluang je.. inilah nasib budak engin (=engineering). Orang lain dah habis berjalan, Nur baru habis exam..". Begitulah seadanya, saya selalu sahaja terlepas daripada mengikuti trip bersama yang lain kerana tempoh waktu peperiksaan saya agak panjang berbanding dengan sahabat lain yang mengambil jurusan perakaunan yang rata-rata subjeknya cuma 3-4 per semester. Saya pula paling kurang 8 subjek satu semester.  

"Kesian isteri abang. InsyaAllah, kalau ada rezeki, abang akan bawak Nur ke tempat-tempat yang abang pernah pegi dulu.." kata suami seolah-olah memujuk. Faham benar dia dengan situasi saya semasa di sana sebab dia mengambil jurusan perakaunan.

"Bestnye kalau dapat pegi Melbourne balik. Terlalu banyak kenangan kat sana. Tapi tak pe ke kalau kita ke sana dulu? Rasa bersalah pulak. Bukan kita kena pegi haji dulu ke kalau berkemampuan?"

"Betul jugak tu, tak kan ada duit nak pegi Melbourne ye tak? Baik pegi haji dulu.."

Itulah antara perbualan kami hampir 9 tahun yang lalu sebaik kami berkahwin. Masa tu, kami baru sahaja beberapa minggu diijabkabulkan dan sedang melihat-lihat gambar sewaktu belajar di Melbourne, Australia dulu. Melbourne, saya tidak akan lupakan tempat itu. Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat saya 'melihat dunia'.. tempat saya mengenali erti sebuah persahabatan, ukhuwwah fillah... tempat saya berjinak-jinak dengan usrah dan tempat saya berjumpa cinta hati saya (opps!).. Alhamdulillah Ya Allah! Bila kawan2 pejabat dan sisters bertanya macam mana kami dapat pergi haji awal dengan muassasah, saya tidak dapat memikirkan yang lain melainkan inilah perbualan yang mencetuskan perjalanan haji kami. Ya, semuanya bermula 9 tahun yang lalu... Sejak itu kami mula meletakkan haji sebagai salah satu agenda utama atau main priority hidup kami setelah berumah tangga. Terima kasih Allah atas cetusan itu!

“Janganlah kamu bersusah payah musafir kecuali menuju ke tiga buah masjid iaitu masjidku ini iaitu masjid Nabi, Masjidilharam di Mekah dan Masjidilaqsa“
(Sahih Muslim)


MasyaAllah, hadith ini 'datang' pada ketika dan masa yang tepat. Bergenang airmata saya bila terbaca hadith ini. Saya yakin kami berdua telah meletakkan priority yang betul dalam plan kami. Hadith ini seolah-olah mengapprove (Mu'adz, jangan guna perkataan ni dalam karangan ya!) to do list kami. Ia mengukuhkan lagi keputusan kami untuk ke SANA sebagai tempat yang pertama untuk kami bermusafir. Tapi kami perlu memastikan niat kami betul. Niat, itulah intipati setiap perbuatan. Niatlah yang akan menentukan apakah natijah di atas perbuatan tersebut. Sia-sialah perbuatan jika niat terpesong atau tersasar daripada matlamat asal. Rugilah wang ringgit yang dibelanjakan hanyasanya jika niat kami untuk menunaikan haji kerana untuk 'mendapat tiket menunaikan ziarah ke Melbourne'!

Tetapi entah mengapa, sejak pulang dari SANA, kami tetap tidak mempunyai apa-apa perancangan serius untuk ke Melbourne. Ke SANA tetap menjadi top list untuk perancangan musafir kami yang seterusnya.
Terima kasih Allah!

Thursday, January 20, 2011

Blog saya...

Alhamdulillahirabbil alamin, segala pujian bagi Allah subhanahu wataala atas segala nikmatNya. Alhamdulillah, impian untuk mempunyai blog sendiri, akhirnya menjadi kenyataan. Terima kasih pada suami yang menolong, akhawat yang kerap kali menyuarakan hajat mereka untuk saya menulis pengalaman haji dan umrah di blog dan juga pada ukhti Dr Normah yang seingat saya sebelum liqo' terakhir dengan beliau telah menyuarakan impiannya untuk kami meng'explore' peluang untuk memperluas medan dakwah melalui tulisan di ruangan blog masing-masing. Harapan saya agar blog ini dapat menjadi medan perkongsian ilmu dan dapat dimanfaatkan oleh semua terutamanya anak saya yang kini sudah mula berjinak-jinak dengan dunia IT. Juga agar ruangan ini dapat mendorong saya supaya lebih gigih membaca dan berkongsi ilmu. 'Sharing is caring'.
Sebaik mungkin saya akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi penulisan saya. Saya pasti tidak dapat menggunakan bahasa Melayu 100%, oleh itu saya mungkin akan mencedok bahasa Arab atau bahasa Inggeris untuk istilah-istilah tertentu. Matlamat saya dan suami agar Mu'adz dan anak-anak yang seterusnya dapat menguasai bahasa dengan lebih baik kerana suami telah memilih bahasa Inggeris sebagai perantara bahasa penulisan diblognya. 
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya mulakan 'ekspedisi' saya di alam cyber ini.